SUNGAI PETANI - Seorang gadis seolah-olah sudah tahu ajalnya sudah tiba apabila dia memuat naik status tentang kematian di laman sosial Facebooknya beberapa hari sebelum terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Badlishah berdekatan pasar raya Tesco Lagenda Heights di sini semalam.
NORFAEZAH bersama Azwan Shah yang menemui ajal bersama selepas kemalangan di Jalan Badlishah, Sungai Petani, Kedah semalam.
Ibu mangsa, Sharina Abu Othman, 49, dengan nada pilu berkata, anaknya, Norfaezah Budiman, 21, yang menggunakan nama pena, Eyja Rela antara lain meluahkan: 'Mungkin esok namaku Arwah. Hari ini aku pakai pakaian yang cantik dan mewah, mungkin esok aku akan pakai kain kafan. Hari ini aku berpijak di atas tanah, mungkin esok aku duduk di bawah tanah.
'Hari ini aku boleh mandi sendiri, mungkin esok orang lain yang akan memandikan aku. Hari ini aku bahagia bersama orang di sekelilingku, mungkin esok aku akan bersendirian di sana.
'Andai kata hari ini hari terakhir aku hidup di dunia, ampunkanlah salah dan silap aku sepanjang perkenalan antara kita. Sekiranya aku pergi, sedekahkanlah Al-fatihah sebagai tanda kau merinduiku dan dari Allah kita datang, kepadanya kita kembali.'
Lebih menyedihkan, teman lelaki arwah, Azwan Shah Ishak, 25, turut maut.
Dalam kemalangan lebih kurang pukul 3 pagi itu, Norfaezah yang bekerja sebagai pembantu kedai telefon bimbit menaiki motosikal yang ditunggangi oleh teman lelakinya bersama lima rakan mereka berkonvoi untuk ke sebuah kedai makan berdekatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, sebuah kereta yang datang arah pusat bandar secara tiba-tiba merempuh motosikal terbabit dari arah belakang.
Akibat rempuhan tersebut, Norfaezah maut di tempat kejadian setelah cedera di kepala.
Kekasihnya pula disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
KOSMO!
KOSMO!
0 comments:
Post a Comment